Rabu, 5 September 2012

Sebarangan atau Sembarangan...?


Betulkah ayat ini….?

1.       Kamu tidak harus membuat tuduhan sebarangan sahaja.
2.       Kamu tidak harus membuat tuduhan sembarangan sahaja.


Kedua-dua ayat di atas dari segi binaan adalah betul dan gramatis kerana terdiri daripada subjek dan predikat. Namun timbul keraguan tentang penggunaan sebarangan dan sembarangan.
“Adakah kedua-dua ayat di atas mendukung maksud yang sama? Bolehkan kedua-duanya bertukar ganti?”

Dalam kebanyakan kamus bahasa Melayu, kata sebarangan tidak wujud. Namun kebanyakan khalayak membuat anggapan bahawa perkataan sebarangan berasal daripada kata terbitan daripada gabungan se + barang + an.  Maksud sebarang ialah biasa sahaja, tidak istimewa. Sebagai contoh :

3.       “Dia bukan sebarang pendekar yang dapat dikalahkan”.
Maknanya : Orang  itu bukan pendekar biasa, bukan calang-calang pendekar tetapi pendekar yang luar biasa tentang kehandalan atau kegagahannya.

Manakala maksud sembarangan terhasil daripada kata terbitan daripada gabungan sembarang + an. Sembarang bermaksud apa sahaja, siapa sahaja, dan asal sahaja.Sembarangan membawa maksud yang banyak antaranya termasuklah tidak menentu, tidak dengan usul periksa, tidak memilih, dan begitu sahaja. Kata sembarangan ini juga bermaksud tidak berhati-hati, kurang teliti, dan sembrono. Perhatikan maksud penggunaan sembarangan dalam contoh ayat di bawah ini:

4.       Maizatul orang bersuku, berkaum kerabat bukan sembarangan orang.
5.       Kamu tidak patut beranggapan sembarangan seperti itu.
6.       Buku ini diletakannya sembarangan sahaja.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa ayat (2) di atas adalah betul lagi tepat dan ayat (1) perlu digantikan penggunaan sebarangan kepada sembarangan bagi menunjukkan maksud tanpa usul periksa.

Disediakan oleh : Hjh Milakarmilah
(Disesuaikan dari : Muhammad Salehudin Aman, Dewan Siswa, Mei 2011, ms: 35)

Tiada ulasan: