Ahad, 12 Ogos 2012

Pembelajaran Koperatif Think-Pair-Share dalam Kemahiran Menulis Karangan

Saya terbaca sebuah teknik pengajaran aktif, iaitu Think-Pair-Share dalam sebuah buku. Terlintas dalam fikiran saya apakah teknik ini dapat digunapakai untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam pembelajaran mereka? Jadi saya buatlah penyelidikan sedikit tentangnya... Inilah hasilnya...
Ingin tahu...? Baca selanjutnya...


Latar belakang perbincangan
Proses penulisan memerlukan latihan mental secara sedar supaya pelajar dapat berfikir dan kemudian memilih dan mencatatkan ayat-ayat bagi menggambarkan fikiran mereka supaya menjadi satu kesatuan fikiran atau pendapat. Amalan yang lazim dijalankan oleh penulis dalam proses penulisan terbahagi kepada tiga tahap iaitu tahap persediaan, penyusunan dan penyemakan. Pada tahap pertama, penulis menentukan maklumat yang terkandung dalam tajuk yang hendak ditulisnya. Pada tahap kedua, penulis perlu menyediakan rangka atau draf penulisannya yang mengandungi susunan idea-idea mengikut format yang tertentu. Tahap terakhir merupakan penyemakan atau bacaan semula bahan yang ditulis untuk memastikan penulisan yang dibuat difahami oleh pembaca (Juriah Long dkk,1989). Oleh itu, untuk menghasilkan bahan penulisan bukanlah merupakan satu proses yang spontan.

Kemahiran menulis
Kemahiran menulis adalah satu kemahiran yang paling kompleks kerana aktiviti penulisan melibatkan pemikiran sebelum, semasa dan selepas sesuatu karangan itu dihasilkan. Isahak Haron (1978) dalam Yahya Othman (2005) menganggap penulisan berkaitan dengan keupayaan intelek dan mental seorang penulis dalam menggarap idea. Untuk menulis, kemahiran mekanis adalah kemahiran penulisan yang pertama yang perlu dikuasai diikuti kemahiran mendapat dan mengumpulkan maklumat dan seterusnya menyusun idea-idea dan mengorganisasi idea tersebut supaya keseluruhan hasil tulisan bertautan dan saling bergantung antara satu dengan lain.
Dalam konteks pendidikan, melalui penulisan pelajar dapat merasakan betapa pentingnya kemahiran menulis perlu dikuasai melalui pembelajaran secara formal. Kemahiran dalam penulisan memerlukan penulisnya menguasai kaedah yang begitu berkesan supaya penyampaian mesej atau maklumat dapat dibuat tanpa sebarang halangan komunikasi. Proses memberikan kefahaman kepada pembaca menjadi lebih baik apabila penulis menunjukkan penguasaan yang mendalam dalam bidang penulisan secara lebih sistematik (Yahya Othman, 2005). Memandangkan kemahiran menulis adalah satu kemahiran yang paling kompleks apakah ada pendekatan, kaedah dan teknik yang berkesan untuk meningkatkan kemahiran menulis terutamanya menyatakan isi-isi karangan dalam kalangan pelajar?
Pembelajaran koperatif
Robert Slavin (1990) dalam George et.al (1995) mendefiniskan pembelajaran koperatif sebagai suatu kaedah perkongsian idea di mana pelajar bekerjasama dan bertanggungjawab terhadap rakan kumpulan dalam pembelajaran untuk mencapai kejayaan dan matlamat kumpulan. Menurut David W. Johnson dan Roger T. Johnson (1994) pembelajaran koperatif ialah kaedah pembelajaran kerjasama yang memerlukan pelajar untuk bekerjasama untuk mencapai matlamat yang diingini.
Dalam pembelajaran koperatif ini pelajar dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil yang terdiri daripada 4 atau 5 ahli. Kumpulan tersebut selalunya terdiri daripada kumpulan heterogen yang terdiri daripada mereka yang pencapaiannya berbeza-beza. Dengan adanya ahli yang berprestasi tinggi berinteraksi dengan yang berprestasi rendah memudahkan pengendalian sesuatu projek. Menurut mereka lagi terdapat lima elemen pembelajaran koperatif iaitu saling bergantung secara positif antara ahli kumpulan pelajar dalam memberikan sumbangan demi kejayaan, setiap ahli berinteraksi secara bersemuka antara satu sama lain, akauntabiliti individu dan setiap ahli kumpulan dalam melaksanakan setiap tugasan dan tanggugjawab, hubungan interpersonal dan membuat rumusan tentang pencapaian dan hasil kumpulan ke arah penambahbaikan.
Kemahiran menulis melalui pembelajaran koperatif
Bagaimanakah mempertingkatkan kemahiran menulis karangan dalam kalangan pelajar? Persoalan ini sering ditimbulkan oleh para guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, untuk meningkatkan kemahiran menulis karangan dalam kalangan pelajar diterapkan pembelajaran koperatif model Think-Pair-Share yang sekaligus membantu pelajar untuk mencari isi-isi karangan melalui kerjasama yang wujud antara pelajar melalui kaedah pembelajaran ini.
Model Think-Pair-Share (TPS) dipelopori oleh Frank Lyman dan kawan-kawannya dari University of Maryland Howard Country Southern Teacher Education Center pada tahun 1981. Lyman (1981, 1989) dalam Neil Davidson dan Toni Worsham (1992) menjelaskan bahawa Think-Pair-Share is a multimode, cooperative learning strategy that incorporates wait time, pair learning and signaling. Konsep asas model ini mengandungi 3 tahap dalam pengajaran dan pembelajaran.
Implementasi pembelajaran koperatif Model Think-Pair Share di bilik darjah
Sebelum aktiviti penulisan dibuat oleh pelajar, pelajar perlu mempunyai dan memperolehi maklumat yang lengkap dan terkini tentang perkara yang hendak ditulis. Melalui tahap-tahap yang diperlihatkan dari model Think-Pair-Share (TPS) guru-guru dapatlah melaksanakan aktiviti mencari isi-isi karangan menggunakan pembelajaran koperatif iaitu menggalakkan pembelajaran berpusatkan pelajar dengan bantuan minima daripada guru mereka.
Pada tahap 1 : Think (Berfikir)
Guru mengajukan pertanyaan atau sesuatu isu yang berkaitan tentang topik karangan. Pelajar pada tahap ini akan memikirkan jawapan secara individu untuk beberapa waktu. Dalam tahap ini guru akan memberikan masa selama tiga minit kepada pelajar untuk berfikir. Sambil memikirkan jawapan terhadap isu yang dikemukakan pelajar akan menulis hasil pemikiran mereka dalam catatan-catatan kecil.
Pada tahap 2 : Pair (Berpasangan)
Guru mengarahkan pelajar untuk berpasangan dengan pelajar yang lain untuk sama-sama membincangkan isi-isi yang diperolehi pada tahap pertama. Pada tahap ini juga guru mengarahkan setiap pasangan untuk berkongsi lagi dengan pasangan yang lain (menjadi 4 ahli dalam satu kumpulan) untuk memperolehi isi-isi karangan yang mencukupi dan relevan dengan tajuk. Dalam tahap inilah pelajar diberikan peluang berinteraksi antara satu sama lain. Pelajar akan diberikan masa lebih kurang 4-5 minit untuk berinteraksi dan menyetujui setiap isi-isi yang difikirkan bersama. Dalam tahap ini juga pelajar akan diberikan peranan masing-masing, iaitu sebagai ketua kumpulan, pencatat dan pembentang atau pelapor.
Pada tahap 3 : Sharing (Berkongsi)
Pada tahap terakhir ini, guru mengarahkan setiap ahli dalam kumpulan akan berkongsi maklumat dengan membentangakan atau melaporkan hasil isi-isi dan maklumat yang diperolehi dan dikumpulkan kepada seluruh kelas tentang apa yang telah mereka bincangkan sebelumnya. Pada tahap ini guru mengorganisasi, menganalisis dan menilai hasil daripada apa yang telah mereka bincangkan.
Implikasi pembelajaran koperatif terhadap kemahiran menulis
Pembelajaran koperatif yang dilakukan dalam kalangan guru terhadap pelajar dalam usaha meningkatkan kemahiran menulis bukan saja memberikan peluang kepada pelajar untuk meningkatkan proses sosialisasi melalui interaksi antara para pelajar malah meneguhkan domain kognitif dan domain afektif mereka.
Peneguhan domain kognitif pelajar melalui pembelajaran koperatif ini dapat dilihat melalui kerjasama dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada kumpulan heterogen yang terdiri daripada pelbagai kebolehan dan latar belakang yang berbeza.
Sementara peneguhan domain afektif yang melibatkan perasaan, nilai dan persepsi individu dapat dilihat melalui pelajar bekerjasama dalam kumpulan mereka dan saling menerima dan bertukar-tukar idea antara satu sama lain, harga diri mereka meningkat dan seterusnya lebih berminat untuk belajar. Selain itu juga, melalui pembelajaran koperatif ini pelajar dapat memupuk nilai-nilai murni seperti kejujuran, bekerjasama, saling hormat-menghormati, bertanggungjawab, bertolak-ansur, berkorban, sepakat dan berinisiatif.
BIBLIOGRAFI
Che Zanariah Che Hassan dan Fadzilah Abd Rahman (2011). Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran
Kemahiran Menulis di Sekolah Rendah. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu.http://journalarticle.ukm.my/2549
David W. Johnson & Roger T. Johnson (1994). Learning Together And Alone. Allyn and Bacon, A Paramount Communication Company.
Jabatan Perkembangan Kurikulum (2009). Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21. Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam.
Juriah Long, Raminah Hj. Sabran, Sofiah Hamid (1989). Perkaedahan Pengajaran Bahasa Melayu. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz (1997). Penguasaan Kemahiran Menulis. Kumpulan Budiman Sdn Bhd.
Mahzan Arshad (2003). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu: Satu Pendekatan Bersepadu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributor Sdn Bhd.
Munsyi Norliza binti Abu Bakar, (2010). Kesan Pembelajaran Koperatif Teknik Think-Pair-Share Terhadap Markat Pencapaian Karangan Bahasa Melayu Pelajar Tingkatan 4. http://www.scrib.com/doc/32899089/Pembelajaran-koperatif-Think-Pair-Share
Neil Davidson, Toni Worsham (1992). Enhancing Thinking Through Cooperative Learning. Teachers College, Columbia University New York and London.
Sabar Afifuddin bin Ahmad Sobri, Mohd Taufek bin Mohd Noh, Fatimah Zahra binti A.Jamil, Zuazlina binti Mohd Sadri. Pembelajaran Berpusatkan Pelajar : Suatu Ulasan Dalam Pendidikan Semasa. http://mahirppb.tripod.com/murid.html
Simah binti Mamat (2009). Keberkesanan Kaedah Koperatif Dalam Pengajaran Menulis Karangan Fakta Dan Naratif Dalam Kalangan Pelajar Bukan Melayu. http://simahmamat.blogspot.com/2009/05/keberkesanan-koperatif-dalam.html
Suraya Tarasat (1999). Perbandingan Kesan Dua Pendekatan Pengajaran Tatabahasa Terhadap Penguasaan Imbuhan Bahasa Melayu Menengah Bawah di Negara Brunei Darussalam. Tesis M.Ed, Universiti Brunei Darussalam.
Yayha Othman. (2005). Trend dalam Pengajaran Bahasa Melayu. PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
Dihasilkan oleh : Hjh Milakarmilah

Tiada ulasan: