Khamis, 6 September 2012

Kemahiran Berfikir dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa


Kemahiran Berfikir dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa

Pemikiran merupakan proses yang menggunakan akal untuk menyelesaikan  masalah. Proses ini melibatkan aktiviti-aktiviti menyusun idea-idea atau perkara-perkara yang tersembunyi, membuat kesimpulan untuk mendapatkan ilmu atau kemahiran baru yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah yang kian mencabar. Ringkasnya, pemikiran boleh diertikan sebagai proses penyusunan maklumat, konsep atau idea yang berkaitan dengan melibatkan penggunaan pandangan, gambaran, simbol, perkataan, akal dan rangsangan atau dorongan yang tersembunyi.

Proses berfikir terdiri daripada interaksi atau hubungan yang berlaku di antara tiga elemen iaitu:
a)    pengetahuan
b)   kemahiran kognitif
c)    sikap dan nilai

Konsep Kemahiran Berfikir

Terdapat beberapa konsep yang sering digunakan dalam membincangkan kemahiran berfikir. Antaranya adalah pemikiran kritis, pemikiran kreatif dan kemahiran berfikir aras tinggi.
Menurut Beyer (1985), pemikiran kritis ialah process of determining the authenticity, accuracy and worth of information or knowledge claim. Beliau menambah bahawa pemikiran kritis mempunyai dua dimensi utama iaitu kerangka minda dan beberapa operasi mental yang spesifik.
Menurut Edward de Bono (1976), kemahiran berfikir dapat dikaitkan dengan pemikiran lateral yang membawa maksud bukan sahaja menyelesaikan masalah, tetapi juga melihat perkara itu berdasarkan pelbagai perspektif bagi tujuan menyelesaikan masalah .
Bagi Mayer (1977) pula, pemikiran adalah pengelolaan operasi-operasi mental tertentu yang berlaku dalam minda atau sistem kognitif bagi tujuan menyelesaikan masalah.
Leming (1989), mendefinisikan pemikiran sebagai proses luar biasa yang digunakan dalam proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Gagasan ini juga mempunyai persamaan dengan pandangan Marzano (1970) yang melihat pemikiran sebagai proses menyelesaikan masalah dan perlakuan semula jadi yang kompleks.
Alvino (1990) pula mengemukakan beberapa definisi yang dianggap mempunyai kaitan dengan konsep kemahiran berfikir ini. Antaranya:
a)    Taksonomi Blooms: Model pengajaran yang popular dengan mengkategorikan kemahiran berfikir daripada pengetahuan konkrit kepada abstrak, pemahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Tiga kategori yang akhir dianggap kemahiran aras tinggi.
b)   Pemikiran kreatif: Cara melihat ataupun melakukan sesuatu yang dicirikan oleh empat komponen iaitu kelancaran dalam menjana idea, fleksibiliti (mengubah perspektif dengan mudah), ketulenan (menggambarkan sesuatu yang baru dan asli) dan elaborasi ( membina idea yang lain).
c)    Pemikiran kritis: Proses dalam menghuraikan ketulenan, ketepatan atau pun nilai bagi sesuatu perkara; ciri-ciri bagi kebolehan mencari sebab dan alternatif, melihat situasi secara keseluruhan, dan mengubah pandangan berdasarkan bukti. Kadangkala dipanggil juga sebagai pemikiran logikal dan pemikiran analitikal.
d)   Kemahiran berfikir: satu set kemahiran yang asas dan lanjutan serta subkemahiran yang menguasai proses mental seseorang. Kemahiran ini mengandungi pengetahuan, kecenderungan dan operasi kognitif dan metakognitif.

Teknik-teknik dalam kemahiran Berfikir

Teknik-teknik yang dapat menggalakkan perkembangan kemahiran berfikir secara analitis, krisis dan rasional boleh didapati daripada Cort Thinking Programme yang disediakan oleh Dr. Edward de Bono. Mengikut beliau, kemahiran berfikir seseorang pelajar boleh dipertingkatkan melalui teknik-teknik seperti berikut;
a)    Mengadakan perbincangan di antara pelajar dalam sesuatu kumpulan kecil dengan mempertimbangkan sesuatu idea atau isu semasa dari segi kebaikannya dan kelemahannya.
b)   Menggunakan teknik menyelesaikan masalah yang sesuai untuk mencari sesuatu aternatif, kemungkinan atau pilihan untuk membuktikan hipotesis atau mendapat sesuatu rumusan.
c)    Membimbing pelajar supaya mempertimbangkan semua faktor dalam proses pilihan atau semasa membuat keputusan.
d)   Membimbing pelajar meneliti segala akibat (berikut sesuatu tindakan) yang mungkin berlaku dalam masa jangka pendek serta masa jangka panjang.
e)    Membimbing pelajar meninjau sesuatu idea atau pendapat dari sudut pandangan orang lain.
f)    Membimbing pelajar supaya memahami dan menentukan tujuan dan objektif tentang sesuatu perkara dalam kajian dengan cara yang tepat.


Ciri-Ciri Utama Kemahiran Berfikir

a)    Kemahiran berfikir secara kritis
Kemahiran berfikir secara kritis ialah kemahiran menilai sesuatu masalah secara logik dan munasabah. Melalui kemahiran ini, guru perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang berikut:
                      i.        menganalisis sesuatu masalah secara terperinci
                    ii.        menyenaraikan ciri-ciri utnuk mendapat gamabaran yang lebih menyeleluruh mengenai sesuatu konsep
                   iii.        kemahiran untuk membuat aktiviti-aktiviti banding beza
                   iv.        menyusun isi dalam bentuk menaik atau menurun
                     v.        membuat keputusan rasional
                   vi.        membuat penilaian secara menyeluruh.

b)   Kemahiran berfikir secara kreatif
Guru juga harus memiliki kemahiran berfikir secara kreatif seperti berikut:
                      i.        menjana idea/jalan penyelesaian yang baru terhadap sesuatu situasi bermasalah
                    ii.        membuat inferens dalam aktiviti-aktiviti penyelesaian masalah di mana guru perlu memutuskan satu tindakan wajar
                   iii.        membuat hubung kait antara konsep-konsep yang berbeza
                   iv.        meramal dengan melibatkan diri dalam kajian masa depan di mana guru dapat membayangkan apa yang akan berlaku dalam sesuatu situasi yang bermasalah.
                     v.        membuat hipotesis iaitu membuat pernyataa masalah yang boleh diuji kesahannya.
                   vi.        mensintesis iaitu menggabungkan idea, unsur-unsur item dan fakta yang berasingan untuk menghasilkan satu gambaran yang menyeluruh.
                  vii.        mengitlak iaitu membuat pemerhatian dan rumusan dengan membuat pernyataan-pernyataan umum
                 viii.        menganalogi iaitu untuk membuat perbandingan dan mencari kesamaan antara konsep-konsep yang berlainan
                   ix.        membuat gambaran mental di mana guru boleh membayangkan sesuatu yang abstrak di dalam pemikirannya.
                    x.        merekacipta iaitu mencipta inovasi atau barang maujud yang baru yang boleh digunakan dalam proses pengakaran dan pembelajaran.

c)    Kemahiran berfikir secara menaakul
Kemahiran berfikir secara menaakul ialah satu kemahiran di mana guru perlu membuat pemikiran tahap tinggi dengan membuat interpretasi, analisis, sintesis dan penilaian untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Dengan ini akan membantu guru membuat keputusan yang logik dan rasional terhadap semua permasalahan yang dihadapi olehnya.

d)   Strategi berfikir
Strategi berfikir ialah proses berfikir yang lebih tinggi peringkatnya dan mengandungi langkah-langkah yang melibatkan beberapa kemahiran berfikir kritis dan kreatif untuk mengkonsepsi, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.


Sumber rujukan:

Dr. Ragbir kaur A/P Joginder Singh. (2006). Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan untuk Kursus perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang. (2006). Ilmu Pendidikan untuk KPLI (Komponen 3: Profesionalisme Keguruan). Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Yahya Othman. (2005). Trend dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: PTS PROFESSIONAL Publishing Sdn. Bhd.

Oleh: Nursyifa Afifah

Tiada ulasan: