Khamis, 6 September 2012

Kejujuran cermin


“Pergi cermin diri kau sendiri!”

Ayat tersebut bukan bermaksud periksa muka dan melihat keadaan muka tetapi lebih daripada itu. Cermin yang fungsinya adalah untuk memantulkan imej sebenarnya mempunyai fungsi yang lebih jauh dan lebih dalam lagi.  Adakah kita menyedari fungsi disebalik cermin yang kita gunakan seharian? Pernahkan anda terfikir bahawa cermin begitu jujur pada kita?

Ayat “Pergi cermin diri kau sendiri!” memberikan maksud yang tersirat. Kita diajak untuk melihat dan mengetahui tentang diri kita lebih jauh. Ayat di atas mengajak kita untuk membuat refleksi terhadap diri sendiri tentang kekurangan dan kelemahan yang ada. Ikuti kisah Pak Pandir dengan cerminnya.

Suatu hari, Pak Pandir pergi mencari makanan di hutan. Sedang mencari-cari... tiba-tiba dia terjumpa cermin. Cermin itu dibawanya balik dan disimpannya di tingkat atas rumahnya tanpa pengetahuan isterinya. Setiap hari sebelum keluar rumah, Pak Pandir akan masuk ke bilik itu untuk melihat cerminnya. Sehinggalah suatu hari, Mak Andih naik pelik melihat gelagat suaminya itu.

Tiba-tiba... Opocot! Punyalah terkejut beruk Mak Andih melihat cermin suaminya dan meraung-raung memberitahu ibunya Tok Andih bahawa suaminya ada perempuan simpanan. Tok Andih pun bergegas menuju ke bilik anaknya untuk melihat sendiri perempuan simpanan yang kononnya disembunyikan oleh Pak Pandir. Tidak lama kemudian, Tok Andih keluar dari bilik tersebut sambil ketawa terbahak-bahak.

“Kenapa emak ketawa?” kata Mak Andih.
“Apa teruk  benar selesa suami kau itu. Kalau pun hendak kahwin lain, carilah perempuan yang elok sikit. Ini tidak. Aku tengok perempuan dalam bilik itu, sudahlah tua, berkerepot pula tu!”

Pengajaran disebalik cerita di atas:
Bercermin dengan merefleksi diri sendiri menuntut kita untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada diri sendiri. Cermin akan mengatakan apa adanya tentang diri kita. Cermin tidak pernah bohong, cermin sentiasa jujur. Oleh kerana itu cermin adalah refleksi sebuah kejujuran dan sangat tepat jika cermin digunakan sebagai alat untuk muhasabah diri untuk menilai kelemahan dan kebaikan kita dalam menjalani kehidupan seharian.

Disediakan oleh : Hjh Milakarmilah
(Dipetik dan disesuaikan dari : Mastika November 2011, ms : 49)

Tiada ulasan: