Ingin tahu...? Baca selanjutnya...
Latar
belakang perbincangan
Proses
penulisan memerlukan latihan mental secara sedar supaya pelajar dapat berfikir
dan kemudian memilih dan mencatatkan ayat-ayat bagi menggambarkan fikiran
mereka supaya menjadi satu kesatuan fikiran atau pendapat. Amalan yang lazim
dijalankan oleh penulis dalam proses penulisan terbahagi kepada tiga tahap
iaitu tahap persediaan, penyusunan dan penyemakan. Pada tahap pertama, penulis
menentukan maklumat yang terkandung dalam tajuk yang hendak ditulisnya. Pada
tahap kedua, penulis perlu menyediakan rangka atau draf penulisannya yang
mengandungi susunan idea-idea mengikut format yang tertentu. Tahap terakhir
merupakan penyemakan atau bacaan semula bahan yang ditulis untuk memastikan
penulisan yang dibuat difahami oleh pembaca (Juriah Long dkk,1989). Oleh itu,
untuk menghasilkan bahan penulisan bukanlah merupakan satu proses yang spontan.
Kemahiran
menulis
Kemahiran
menulis adalah satu kemahiran yang paling kompleks kerana aktiviti penulisan
melibatkan pemikiran sebelum, semasa dan selepas sesuatu karangan itu
dihasilkan. Isahak Haron (1978) dalam Yahya Othman (2005) menganggap penulisan
berkaitan dengan keupayaan intelek dan mental seorang penulis dalam menggarap
idea. Untuk menulis, kemahiran mekanis adalah kemahiran penulisan yang pertama
yang perlu dikuasai diikuti kemahiran mendapat dan mengumpulkan maklumat dan
seterusnya menyusun idea-idea dan mengorganisasi idea tersebut supaya
keseluruhan hasil tulisan bertautan dan saling bergantung antara satu dengan
lain.
Dalam
konteks pendidikan, melalui penulisan pelajar dapat merasakan betapa pentingnya
kemahiran menulis perlu dikuasai melalui pembelajaran secara formal. Kemahiran
dalam penulisan memerlukan penulisnya menguasai kaedah yang begitu berkesan
supaya penyampaian mesej atau maklumat dapat dibuat tanpa sebarang halangan
komunikasi. Proses memberikan kefahaman kepada pembaca menjadi lebih baik
apabila penulis menunjukkan penguasaan yang mendalam dalam bidang penulisan
secara lebih sistematik (Yahya Othman, 2005). Memandangkan kemahiran menulis
adalah satu kemahiran yang paling kompleks apakah ada pendekatan, kaedah dan
teknik yang berkesan untuk meningkatkan kemahiran menulis terutamanya
menyatakan isi-isi karangan dalam kalangan pelajar?
Pembelajaran
koperatif
Robert
Slavin (1990) dalam George et.al (1995) mendefiniskan pembelajaran
koperatif sebagai suatu kaedah perkongsian idea di mana pelajar bekerjasama dan
bertanggungjawab terhadap rakan kumpulan dalam pembelajaran untuk mencapai
kejayaan dan matlamat kumpulan. Menurut David W. Johnson dan Roger T. Johnson
(1994) pembelajaran koperatif ialah kaedah pembelajaran kerjasama yang
memerlukan pelajar untuk bekerjasama untuk mencapai matlamat yang diingini.
Dalam
pembelajaran koperatif ini pelajar dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil
yang terdiri daripada 4 atau 5 ahli. Kumpulan tersebut selalunya terdiri
daripada kumpulan heterogen yang terdiri daripada mereka yang pencapaiannya
berbeza-beza. Dengan adanya ahli yang berprestasi tinggi berinteraksi dengan
yang berprestasi rendah memudahkan pengendalian sesuatu projek. Menurut mereka
lagi terdapat lima elemen pembelajaran koperatif iaitu saling bergantung secara
positif antara ahli kumpulan pelajar dalam memberikan sumbangan demi kejayaan,
setiap ahli berinteraksi secara bersemuka antara satu sama lain, akauntabiliti
individu dan setiap ahli kumpulan dalam melaksanakan setiap tugasan dan
tanggugjawab, hubungan interpersonal dan membuat rumusan tentang pencapaian dan
hasil kumpulan ke arah penambahbaikan.
Kemahiran
menulis melalui pembelajaran koperatif
Bagaimanakah
mempertingkatkan kemahiran menulis karangan dalam kalangan pelajar? Persoalan
ini sering ditimbulkan oleh para guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran
yang berlangsung di dalam bilik darjah. Oleh yang demikian, untuk meningkatkan
kemahiran menulis karangan dalam kalangan pelajar diterapkan pembelajaran
koperatif model Think-Pair-Share yang sekaligus membantu pelajar untuk
mencari isi-isi karangan melalui kerjasama yang wujud antara pelajar melalui
kaedah pembelajaran ini.
Model
Think-Pair-Share (TPS) dipelopori oleh Frank Lyman dan kawan-kawannya
dari University of Maryland Howard Country Southern Teacher Education Center
pada tahun 1981. Lyman (1981, 1989) dalam Neil Davidson dan Toni Worsham (1992)
menjelaskan bahawa Think-Pair-Share is a multimode, cooperative learning
strategy that incorporates wait time, pair learning and signaling. Konsep
asas model ini mengandungi 3 tahap dalam pengajaran dan pembelajaran.
Implementasi
pembelajaran koperatif Model Think-Pair Share di bilik darjah
Sebelum
aktiviti penulisan dibuat oleh pelajar, pelajar perlu mempunyai dan memperolehi
maklumat yang lengkap dan terkini tentang perkara yang hendak ditulis. Melalui
tahap-tahap yang diperlihatkan dari model Think-Pair-Share (TPS)
guru-guru dapatlah melaksanakan aktiviti mencari isi-isi karangan menggunakan
pembelajaran koperatif iaitu menggalakkan pembelajaran berpusatkan pelajar
dengan bantuan minima daripada guru mereka.
Guru
mengajukan pertanyaan atau sesuatu isu yang berkaitan tentang topik karangan.
Pelajar pada tahap ini akan memikirkan jawapan secara individu untuk beberapa
waktu. Dalam tahap ini guru akan memberikan masa selama tiga minit kepada
pelajar untuk berfikir. Sambil memikirkan jawapan terhadap isu yang dikemukakan
pelajar akan menulis hasil pemikiran mereka dalam catatan-catatan kecil.
Pada
tahap 2 : Pair (Berpasangan)
Guru
mengarahkan pelajar untuk berpasangan dengan pelajar yang lain untuk sama-sama
membincangkan isi-isi yang diperolehi pada tahap pertama. Pada tahap ini juga
guru mengarahkan setiap pasangan untuk berkongsi lagi dengan pasangan yang lain
(menjadi 4 ahli dalam satu kumpulan) untuk memperolehi isi-isi karangan yang
mencukupi dan relevan dengan tajuk. Dalam tahap inilah pelajar diberikan
peluang berinteraksi antara satu sama lain. Pelajar akan diberikan masa lebih
kurang 4-5 minit untuk berinteraksi dan menyetujui setiap isi-isi yang
difikirkan bersama. Dalam tahap ini juga pelajar akan diberikan peranan
masing-masing, iaitu sebagai ketua kumpulan, pencatat dan pembentang atau
pelapor.
Pada
tahap 3 : Sharing (Berkongsi)
Pada
tahap terakhir ini, guru mengarahkan setiap ahli dalam kumpulan akan berkongsi
maklumat dengan membentangakan atau melaporkan hasil isi-isi dan maklumat yang
diperolehi dan dikumpulkan kepada seluruh kelas tentang apa yang telah mereka
bincangkan sebelumnya. Pada tahap ini guru mengorganisasi, menganalisis dan
menilai hasil daripada apa yang telah mereka bincangkan.
Implikasi
pembelajaran koperatif terhadap kemahiran menulis
Pembelajaran
koperatif yang dilakukan dalam kalangan guru terhadap pelajar dalam usaha
meningkatkan kemahiran menulis bukan saja memberikan peluang kepada pelajar
untuk meningkatkan proses sosialisasi melalui interaksi antara para pelajar
malah meneguhkan domain kognitif dan domain afektif mereka.
Peneguhan
domain kognitif pelajar melalui pembelajaran koperatif ini dapat dilihat
melalui kerjasama dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada kumpulan heterogen
yang terdiri daripada pelbagai kebolehan dan latar belakang yang berbeza.
Sementara
peneguhan domain afektif yang melibatkan perasaan, nilai dan persepsi individu
dapat dilihat melalui pelajar bekerjasama dalam kumpulan mereka dan saling
menerima dan bertukar-tukar idea antara satu sama lain, harga diri mereka
meningkat dan seterusnya lebih berminat untuk belajar. Selain itu juga, melalui
pembelajaran koperatif ini pelajar dapat memupuk nilai-nilai murni seperti
kejujuran, bekerjasama, saling hormat-menghormati, bertanggungjawab,
bertolak-ansur, berkorban, sepakat dan berinisiatif.
BIBLIOGRAFI
Che Zanariah Che Hassan dan Fadzilah
Abd Rahman (2011). Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran
Kemahiran Menulis di Sekolah Rendah.
Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu.http://journalarticle.ukm.my/2549
David W. Johnson & Roger T.
Johnson (1994). Learning Together And Alone. Allyn and Bacon, A
Paramount Communication Company.
Jabatan Perkembangan Kurikulum
(2009). Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21. Kementerian Pendidikan
Negara Brunei Darussalam.
Juriah Long, Raminah Hj. Sabran,
Sofiah Hamid (1989). Perkaedahan Pengajaran Bahasa Melayu.
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj Husin, Siti Hajar Hj.
Abdul Aziz (1997). Penguasaan Kemahiran Menulis. Kumpulan Budiman Sdn
Bhd.
Mahzan Arshad (2003). Pendidikan
Literasi Bahasa Melayu: Satu Pendekatan Bersepadu. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributor Sdn Bhd.
Munsyi Norliza binti Abu Bakar,
(2010). Kesan Pembelajaran Koperatif Teknik Think-Pair-Share Terhadap Markat
Pencapaian Karangan Bahasa Melayu Pelajar Tingkatan 4. http://www.scrib.com/doc/32899089/Pembelajaran-koperatif-Think-Pair-Share
Neil Davidson, Toni Worsham (1992). Enhancing
Thinking Through Cooperative Learning. Teachers College, Columbia
University New York and London.
Sabar Afifuddin bin Ahmad Sobri,
Mohd Taufek bin Mohd Noh, Fatimah Zahra binti A.Jamil, Zuazlina binti Mohd
Sadri. Pembelajaran Berpusatkan Pelajar : Suatu Ulasan Dalam Pendidikan
Semasa. http://mahirppb.tripod.com/murid.html
Simah binti Mamat (2009). Keberkesanan
Kaedah Koperatif Dalam Pengajaran Menulis Karangan Fakta Dan Naratif Dalam
Kalangan Pelajar Bukan Melayu. http://simahmamat.blogspot.com/2009/05/keberkesanan-koperatif-dalam.html
Suraya Tarasat (1999). Perbandingan
Kesan Dua Pendekatan Pengajaran Tatabahasa Terhadap Penguasaan Imbuhan Bahasa
Melayu Menengah Bawah di Negara Brunei Darussalam. Tesis M.Ed, Universiti
Brunei Darussalam.
Yayha Othman. (2005). Trend dalam
Pengajaran Bahasa Melayu. PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
Dihasilkan oleh : Hjh Milakarmilah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan