Khamis, 9 Ogos 2012

Adab berdoa

"Cikgu, doa kan saya agar saya berjaya dalam peperiksaan saya". Seringkali saya mendengarkan 'pesanan-pesanan' yang seumpama ini apabila tibanya musim peperiksaan. Sebagai pelajar, selain berdoa meminta kepada Allah, pelajar haruslah menyertakannya dengan usaha. Namun adakah pelajar menyedari dalam berdoa ada adab-adab tertentu untuk memohon kepada Allah agar doa tersebut dimakbulkan.


Tips 1: Membersihkan rohani dan jasmani
Sebelum bedoa, kemaskan dan sucikan diri dahulu. Bersihkan tubuh dan pakai baju yang bersih. Kebersihan jiwa, makanan, minuman dan pakaian akan menentukan kemakbulan doa anda. Mulakan doa dengan memohon ampun kepada Tuhan atas kesilapan. Pohonlah agar rohani dan jasmani anda dibersihkan.

Tips 2 : Berdoa dengan khusyuk
Doa merupkan permintaan seseorang umat kepada Tuhan. Apabila meminta sesuatu, anda harus meminta dengan bersungguh-sungguh. Jika anda berdoa tetapi fikiran menerawang jauh ke tempat lain menunjukkan bahawa anda seolah-olah tidak kisah akan kemakbulan doa tersebut.

Tips 3 : Memahami maksud doa
Apakah guna berdoa jika tidak tahu perkara yang diminta? Hayatilah maksud doa anda dan selami maksud setiap perkataannya yang keluar dari mulut anda.

Tips 4 : Memilih waktu dan tempat yang sesuai
Doa adalah waktu ketika anda berkomunikasi dengan Tuhan. Oleh itu, carilah waktu dan tempat yang sesuai untuk berdoa agar dapat menumpukan perhatian. Dalam Islam, waktu mustajab berdoa termasuklah sepanjang malam, waktu antara azan dan iqamat, ketika sujud dalam solat dan setiap kali selepas solat.

Tips 5 : Berdoa dengan serius
Doa perlu dilafazkan dengan serius dan bersungguh-sungguh. Gunakan suara yang lembut, tidak payah bersajak dan berlagu atau meninggikan suara. Tuhan akan mendengar permintaan anda walaupun sepotong doa yang sederhana, sopan dan penuh harapan.


Disediakan oleh : Hjh Milakarmilah

Tiada ulasan: